BLOG SASTERA MELAYU PRA-U

Saturday 16 June 2012

TALIBUN


Definisi Talibun

  • Talibun atau juga dikenali sebagai sesomba adalah satu puisi yang bentuknya, rangkapnya, jumlah baris dalam rangkap, jumlah kata dalam baris, irama, yang tidak tetap.
  • Talibun juga merupakan bentuk puisi yang terdiri daripada beberapa rangkap dan setiap baris dapat melengkapkan keseluruhan idea.
  • Ia merupakan puisi berangkap tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara.
  • Sejenis puisi Melayu berbentuk bebas (ikatan puisi bebas).
  • Digunakan sebagai sisipan / selingan dalam cerita lipur lara.

Peranan/Fungsi Talibun

  • Fungsi dan kedudukan talibun adalah sebagai sisipan di dalam sesebuah cerita lipur lara.
  • Fungsi talibun di dalam sesebuah cerita adalah sebagai pemerian kepada cerita berkenaan dan memperjelaskan perlukisan tersebut.  
  • Berfungsi untuk menjelaskan sesuatu perkara.
  • Merupakan bahan penting dalam pengkaryaan cerita penglipur lara.

Ciri-ciri Talibun
  • Ia merupakan sejenis puisi bebas.
  • Terdapat beberapa baris dalam rangkap untuk menjelaskan pemerian.
  • Isinya berdasarkan sesuatu perkara diceritakan secara terperinci.
  • Tiada mempunyai pembayang, setiap rangkap dapat menjelaskan satu keseluruhan cerita.
  • Struktur talibun berbentuk bebas iaitu dalam serangkap talibun tidak mempunyai jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata yang seimbang. Talibun juga tidak mempunyai sistem rima tertentu.
  • Dalam sesuatu untai talibun, mungkin terdapat sisipan daripada genre puisi yang lain seperti pantun, syair dan sebagainya, tetapi ternyata sisipan ini dianggap sebahagian daripada rangkap talibun.
  • Isi atau tema sesebuah talibun berhubungan dengan pemerian yang dilukiskan di dalam sesebuah konteks. Misalnya untuk memerikan atau melukiskan keindahan sesebuah kota, kecantikan seseorang puteri atau kesaktian sejenis senjata dan unsur-unsur di dalam sesebuah cerita.
  • Penggunaan bahasa perulangan menjadi lumrah dalam pembentukannya.Teknik perulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi juga pengulangan seluruh puisi tersebut.

Tema Talibun

  • Mengisahkan kebesaran/kehebatan sesuatu tempat dll.
  • Mengisahkan keajaiban sesuatu benda/peristiwa.
  • Mengisahkan kehebatan/kecantikan seseorang.
  • Mengisahkan kelakuan dan sikap manusia.

Contoh Talibun

Tengah malam sudah terlampau
Dinihari belum lagi nampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang muda pulang bertandang
Orang tua berkalih tidur
Embun jantan rintik-rintik
Berbunyi kuang jauh ke tengah
Sering lanting riang di rimba
Melenguh lembu di padang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung, Merak mengigal
Fajar sidik menyinsing naik
Kicak-kicau bunyi Murai
Taktibau melambung tinggi
Berkuku balam dihujung bendul
Terdengar puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
Itulah alamat hari nak siang

(Hikayat Malim Deman)



No comments:

Post a Comment