BLOG SASTERA MELAYU PRA-U

Tuesday 29 May 2012

PANTUN

Definisi Pantun

  • Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati.
  • Pantun juga ialah karangan berangkap yang menggunakan bahasa-bahasa indah.
  • Sifat pantun yang sederhana,ringkas dan mudah menjadikan pantun sebagai puisi tradisional yang masih kekal dan popular sehingga kini.

Peranan/Fungsi Pantun

  • Digunakan dalam aktiviti masyarakat seperti dalam kegiatan seni, keagamaan, dan adat istiadat.
  • Sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat, seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi.
  • Sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta gurau senda, terutamanya pantun jenaka dan pantun usik-mengusik serta pantun dalam permainan.
  • Sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kiasan atau berterus-terang.
  • Sebagai alat bagi menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan seperti pantun teka-teki, pantun peribahasa dan pantun yang terdapat dalam puisi adat atau teromba.
  • Sebagai alat untuk mendapatkan gambaran masyarakat, terutamanya sebagai gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan perspektif mereka seluruhnya.

Ciri/Bentuk Pantun

  • Sebuah pantun wujud dalam satu rangkap yang sempurna dari segi maknanya.
  • Setiap rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan satu lagi bahagian maksud.
  • Bagi pantun empat kerat, baris satu dan dua adalah pembayang, manakala baris tiga dan empat adalah maksud.
  • Bagi pantun dua kerat pula, baris pertama adalah pembayang dan baris kedua adalah maksud.

Jenis Pantun

  • Pantun terdiri daripada pelbagai jenis. Sebagai contoh, pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat. 
  • Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya.
  • Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.


Contoh Pantun



Pantun Empat Kerat

Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.


Pantun Enam Kerat


Tempayan pecah jangan ditiarap,
Boleh dibuat pengisi dedak,
Dedak basah penjemur padi;
Orang miskin apa diharap,
Budi tiada bahasa pun tiada,
Emas perak jauh sekali.


Pantun Lapan Kerat


Sarang merbah dicelah bahan,
Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejar anak rusa,
Tambak dari tanah seberang;
Bersyukurlah aku pada tuhan,
Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Harap pada kesihan orang.


Pantun Sepuluh kerat


Kain selendang tenunan kapar,
Putus sehelai atas kasur,
Dialas dengan sapu tangan,
Dibungkus dengan kain kasap,
Diikat dengan kain sutera;
Hidangan sudah dihantar,
Hanya menunggu masa bersantap,
Jawat air basahlah tangan,
Tambahkan nasi akan disantap,
Kami dipangkalan bersama-sama.


Pantun Dua Belas kerat


Anak jentayu dari hulu,
Disambar ombak Laut China,
Dibawa terbang ke perahu,
Hinggap melahap di landasan,
Turun minum ke muara,
Anak ikan berkeliaran;
Kamilah tahu dari dahulu,
Adik Jauhari bijaksana,
Membuhul tidak membeku,
Mengulas tidak mengesan,
Meratap langit dengan bicara,
Bumi tidak ketirisan.


Hasil ciptaan


Indah sungguh bandar Taiping,
Dihiasi dengan banggunan lama,
Generasi muda perlu dibimbing,
menjadi pelapis pemimpin negara.


Negara Malaysia negara maju,
Masyarakatnya pula berbudi bahasa,
Kalau kita mahu bersatu,
Eratkan hubungan sesama bangsa.


Bunga melur kembang berseri,
Warna merah harum baunya,
Jika kita sudah berjanji,
Maka janji perlu dilaksana.
















































2 comments:

  1. The Casino at the Star Gold Coast - jtmhub.com
    Casino at the Star Gold Coast in Gold Coast offers fun, entertainment and a 강릉 출장안마 world-class 수원 출장안마 day spa. 정읍 출장안마 Whether you're looking 청주 출장마사지 for 제주 출장마사지 luxury accommodation,

    ReplyDelete