BLOG SASTERA MELAYU PRA-U

Thursday 31 May 2012

SYAIR

Definisi Syair

  • Syair merupakan sejenis puisi berlagu.
  • Syair juga merupakan sejenis puisi melayu lama yang berangkap.
  • Ia berasal dari parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama dengan kedatangan islam.

Peranan/Fungsi Syair

  • Sebagai hiburan yang bersesuaian dengan sifatnya yang demikian maka syair sering dilagukan dalam majlis-majlis tertentu seperti dalam pesta, sambutan maulud, kegiatan kesenian dan keramaian, dipertandingkan atau dalam upacara-upacara adat.
  • Alat menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu terutama dalam hal-hal yang menyentuh aspek pengajaran agama islam dari rukun iman, rukun sembahyang, zakat, puasa dan sebagainya.
  • Kemerduan suara "tukang lagu" dan kelembutan nada syair berupaya mengusik perasaan dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam.
  • Dinyayikan atau dilagukan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu seperti dalam dabus dan boria.

Ciri/Bentuk Syair

  • Merupakan puisi terikat
  • Syair tidak mempunyai pembayang.
  • Rangkap :  Setiap rangkap terdiri daripada empat baris. Ini bermakna tiap-tiap satu rangkap syair mengandungi jumlah baris yang tetap.
  • Perkataan : Bilangan perkataan sebaris tetap iaitu 4-5 perkataan sebaris.
  • Sukukata : Bilangan sukukata sebaris juga tetap antara 8-12 sukukata dalam sebaris.
  • Rima : Rima akhir dalam serangkap juga tetap a/a/a/a
  • Dalam satu baris syair, terdapat suatu hentian (pause)
  • Tiap satu rangkap syair memerlukan beberapa rangkap syair yang berurutan untuk memberi idea yang lengkap.
  • Dengan lain perkataan, syair adalah satu pernyataan yang berlarutan bagi mengemukakan cerita, kisah, buah fikiran, nasihat dan puji-pujian.


Jenis-Jenis Syair

  • Syair cerita.
  • Syair nasihat.
  • Syair semangat patriotik.
  • Syair alam sekitar.
  • Syair Kiasan.
  • Syair Ilmu
  • Syair Keagamaan.
  • Syair panji.
  • Syair romantis.
  • Syair saduran.
  • Syair sejarah.


Contoh Syair

Syair Pemberontakan Patani

Laksamana dititahkan Betara,
Ke negeri Patani berjalan segera,
Mendapat cogan Raja Senggora,
Akan menerima hukum dan dera.

Barang yang hendak dihukumkan,
Sekalian tidak boleh disalahkan,
Kesalahan pinta dimaafkan,
Pegawai yang dipengang itu dipohonkan.

Setelah demikian titah Betara,
Laksamana tiada berani dura,
Kerana negeri hendak dipelihara,
Kelak menjadi huru-hara.

Bonda Duli Mahkota Indera,
Pada Laksamana emak saudara,
Sakit terlantar hampir bermara,
Meninggalkan dia tiada terkira.

Daripada kerja terlalu berat,
Ke atas negeri hendak mudarat,
Jadilah dititahkan duli hadirat,
Bimbang dan masyghul disuruh kerat.

Tiadalah lagi terkata-kata,
Sudah dengan titah Sang Nata,
Diputuslah hati yang bercinta,
kepada Allah diserah semata.

Niat Laksamana yang pegari,
Daulat baginda barang berdiri,
Jika selamat sentosa negeri,
Biarlah susah di atas diri.

Berjalan ia berhati hampa,
Bonda yang sakit tiada dilupa,
kerana sakit berat menimpa,
Yakin hatinya tiada berjumpa.

Daripada sudah demikian peri,
Keberatan tertanggung di atas negeri,
Yang sakit itu seorang diri,
Bala yang datang meliputi negeri.

Jadilah dititahkan Seri Betara,
tiadalah lagi terkira-kira,
Berjalanlah pergi bersegera-segera,
Mendapat cogan Raja Senggora.


Hasil Ciptaan

Syair Alam sekitar

Bumi yang indah ciptaan tuhan,
Dipenuhi dengan pelbagai kehidupan,
Selain manusia terdapat haiwan,
Di samping juga tumbuh-tumbuhan.

Alam ini kurnian ilahi,
Kurnia yang harus kita hargai,
Hendaklah dijaga dan disayangi,
Kerosakan tiada bumi harmoni.

Hutan diteroka sesuka hati,
Sikap manusia mementingkan diri,
Tanpa dipantau dan juga awasi,
Menyebabkan alam musnahlah nanti.

Flora dan fauna ciptaan tuhan,
Tumbuh meliar menghiasi taman,
Kalau kita mahukan keamanan,
Haruslah dipelihara ke akhir zaman.

Pencemar tasik dan juga sungai,
Semakin berleluasa kebelakangan ini,
Jangan kita hanya memerhati,
Sekatlah segera bersungguh hati.


Jika bumi diinginkan sentosa,
Adakan kempen membuat jasa,
Marilah kita semua bangsa,
memulihara alam setiap masa.


Bumi kita semakin tua,
Kemusnahan alam tiada nohtahnya,
Kita manusia harus bersedia,
Menjaga alam ke arah sejahtera.


Tegur menegur setiap masa,
Kerjasama kita semasa bangsa,
Alam dianugerah untuk dijaga,
Dari pencipta kepada manusia.
















SELOKA

Definisi Seloka


  • Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak.
  • Seloka juga adalah salah satu bentuk puisi Melayu Klasik disamping mantera, bidal, pantun, gurindam, atau syair.
  • Kata seloka berasal dari bahasa sanskrit iaitu "shloka".

Peranan/Fungsi Seloka

  • Seloka dapat menggambarkan masyarakat yang melahirkannya iaitu masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan ketatasusilaan.
  • Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka digunakan untuk mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat tanpa menyinggung perasaan individu sasaran.
  • Seloka juga digunakan untuk menyindir, mengejek, menempelak seseorang, melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia, memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang dan sebagai alat kawalan sosial.

Ciri/Bentuk Seloka

  • Merupakan puisi bebas atau tidak terikat.
  • Digubah sama ada mengikut bentuk pantun, syair atau perumpamaan.
  • Tidak mempunyai pembayang.
  • Rangkap : Bilangan baris dalam serangkap tidak tetap.
  • Perkataan : Jumlah perkataan dalam sebaris juga tidak tetap.
  • Sukukata : Jumlah sukukata dalam sebaris juga tidak tetap.
  • Rima : Rima akhirnya dalam serangkap juga tidak tetap.

Contoh Seloka

Seloka Pak kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.





Hasil Ciptaan




Seloka Anak Dan Ibu


Wahai anak,
Sembilan bulan kau dikandung,
Dikandung pula ke sana ke mari,
Tanpa mengenal erti jemu,
Cukup masa kau dilahirkan,
Diberi nama yang cukup indah,
Semasa kecil dijaga dengan baik,
Tanpa sebarang rungutan, 
Diberi pula pelbagai didikan ilmu,
Walaupun tiada ayah membantu;
Namun malang tidak berbau,
Apabila besar kau menderhakai ibu,
Kau pergi membawa diri,
Bersama isteri kau sayangi,
Kau pergi tanpa sebarang khabar,
meninggalkan ibu tunggalmu,
Hidup sebatang kara. 























Tuesday 29 May 2012

PANTUN

Definisi Pantun

  • Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati.
  • Pantun juga ialah karangan berangkap yang menggunakan bahasa-bahasa indah.
  • Sifat pantun yang sederhana,ringkas dan mudah menjadikan pantun sebagai puisi tradisional yang masih kekal dan popular sehingga kini.

Peranan/Fungsi Pantun

  • Digunakan dalam aktiviti masyarakat seperti dalam kegiatan seni, keagamaan, dan adat istiadat.
  • Sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat, seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi.
  • Sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta gurau senda, terutamanya pantun jenaka dan pantun usik-mengusik serta pantun dalam permainan.
  • Sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kiasan atau berterus-terang.
  • Sebagai alat bagi menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan seperti pantun teka-teki, pantun peribahasa dan pantun yang terdapat dalam puisi adat atau teromba.
  • Sebagai alat untuk mendapatkan gambaran masyarakat, terutamanya sebagai gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan perspektif mereka seluruhnya.

Ciri/Bentuk Pantun

  • Sebuah pantun wujud dalam satu rangkap yang sempurna dari segi maknanya.
  • Setiap rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan satu lagi bahagian maksud.
  • Bagi pantun empat kerat, baris satu dan dua adalah pembayang, manakala baris tiga dan empat adalah maksud.
  • Bagi pantun dua kerat pula, baris pertama adalah pembayang dan baris kedua adalah maksud.

Jenis Pantun

  • Pantun terdiri daripada pelbagai jenis. Sebagai contoh, pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat. 
  • Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya.
  • Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.


Contoh Pantun



Pantun Empat Kerat

Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.


Pantun Enam Kerat


Tempayan pecah jangan ditiarap,
Boleh dibuat pengisi dedak,
Dedak basah penjemur padi;
Orang miskin apa diharap,
Budi tiada bahasa pun tiada,
Emas perak jauh sekali.


Pantun Lapan Kerat


Sarang merbah dicelah bahan,
Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejar anak rusa,
Tambak dari tanah seberang;
Bersyukurlah aku pada tuhan,
Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Harap pada kesihan orang.


Pantun Sepuluh kerat


Kain selendang tenunan kapar,
Putus sehelai atas kasur,
Dialas dengan sapu tangan,
Dibungkus dengan kain kasap,
Diikat dengan kain sutera;
Hidangan sudah dihantar,
Hanya menunggu masa bersantap,
Jawat air basahlah tangan,
Tambahkan nasi akan disantap,
Kami dipangkalan bersama-sama.


Pantun Dua Belas kerat


Anak jentayu dari hulu,
Disambar ombak Laut China,
Dibawa terbang ke perahu,
Hinggap melahap di landasan,
Turun minum ke muara,
Anak ikan berkeliaran;
Kamilah tahu dari dahulu,
Adik Jauhari bijaksana,
Membuhul tidak membeku,
Mengulas tidak mengesan,
Meratap langit dengan bicara,
Bumi tidak ketirisan.


Hasil ciptaan


Indah sungguh bandar Taiping,
Dihiasi dengan banggunan lama,
Generasi muda perlu dibimbing,
menjadi pelapis pemimpin negara.


Negara Malaysia negara maju,
Masyarakatnya pula berbudi bahasa,
Kalau kita mahu bersatu,
Eratkan hubungan sesama bangsa.


Bunga melur kembang berseri,
Warna merah harum baunya,
Jika kita sudah berjanji,
Maka janji perlu dilaksana.